Beza
antara ketua dengan pemimpin
DR. MUHAYA MUHAMAD | 07 Disember 2014 1:30 AM
Banyak
orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin.
Apakah perbezaan antara ketua dengan pemimpin? Ada sembilan perkara yang
membezakan antara seorang ketua dengan seorang pemimpin.
Pertama,
seorang ketua dia ialah pendesak&; yang hanya tahu
menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang
didesaknya. Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat
daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu
diberikannya.
Tetapi,
seorang pemimpin dia menjadi ‘pemberi inspirasi’ kepada orang. Mendahului
kawalan emosi; dengan memberikan sebanyak mungkin kasih sayang dan menanamkan
kepercayaan orang sekeliling terhadap dirinya. Dia mempercayai dengan kasih
sayang dapat menyelesaikan semua masalah, kerana orang akan mendengar kata atau
nasihat orang yang disayanginya sahaja.
Kedua,
seorang ketua dia ialah seorang yang ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang
pemimpin dia ‘mendapatkan penghormatan’. Apakah perbezaannya antara ‘mahukan
penghormatan’ dengan ‘mendapat penghormatan’. Orang yang sentiasa berasa
dirinya penting ialah orang yang mengharapkan atau ‘mahukan penghormatan’ dan
dia tidak perlu berusaha mendapatkan penghormatan itu, kerana dia berasa itu
haknya sebagai ketua. Dia akan marah jika orang tidak menghormatinya dan tidak
tahu dia sebagai ketua.
Tetapi,
pemimpin ialah orang yang ‘mendapatkan penghormatan’. Dia akan berusaha berbuat
sesuatu yang bermanfaat kepada orang sekelilingnya dengan ikhlas, dan menerima
hakikat penghormatan itu bukan hak hakikinya. Dia tidak mengharapkan
penghormatan dan yang diharapkannya ialah reda Allah. Sekiranya dia berjaya
‘mendapat penghormatan’, itu satu respons positif yang diperolehnya hasil
daripada tindakan positifnya. Fikiran positif – emosi positif – tindakan
positif – respons positif – hasil kehidupan positif (formula ‘Reset Minda’).
Ketiga,
seorang ketua, apabila membuat sesuatu kerja dia suka mengatakan ‘saya’, tetapi
seorang pemimpin dia akan mengatakan ‘kami’/ 'kita’. Seorang ketua akan
berfikir bahawa dia orang nombor satu dan sesuatu yang diusahakan itu berjaya
kerana kehebatan dan usaha gigih dirinya (‘saya’). Tetapi, seorang pemimpin,
dia lebih suka mengambil konsep kebersamaan. Kejayaan sesuatu usaha itu adalah
kerana adanya sikap bantu membantu dan kerjasama antara dirinya dengan orang
sekelilingnya.
Keempat,
seorang ketua, dia akan ‘menakutkan orang/menimbulkan rasa takut orang
sekeliling terhadap sesuatu perkara’, tetapi seorang pemimpin ‘menjadikan
inspirasi untuk mewujudkan semangat yang bergelora dan minat yang mendalam’.
Seorang ketua, dia suka orang takut kepadanya. Dia akan menggunakan kuasanya
menggertak atau mengugut orang, akan memberikan hukuman dan menarik segala hak
yang patut diperoleh orang sekelilingnya, jika enggan patuh kepada arahannya.
Keprihatinan
Tetapi,
seorang pemimpin dia memudahkan, membahagiakan orang dan membangkitkan semangat
orang sekelilingnya. Memandang orang bukan sahaja dengan pandangan mata akal,
tetapi menggunakan mata hati. Keprihatinannya amat tinggi; sedih melihat orang
sedih dan bahagia melihat orang bahagia.
Kelima,
seorang ketua, ‘meletakkan salah kepada orang lain’, tetapi seorang pemimpin
dia ‘memikul kesalahan’. Seorang ketua suka menyalahkan dan mencari kesalahan.
Tidak suka melakukan refleksi diri sendiri atau muhasabah diri, tetapi suka
menunjukkan kesalahan orang lain yang menyebabkan sesuatu kegagalan. Tetapi,
seorang pemimpin dia akan mengambil tanggungjawab dan sanggup mengambil risiko
memikul kesalahan di atas bahunya sendiri.
Keenam,
seorang ketua ‘menggunakan orang/staf’, tetapi seorang pemimpin ‘membangunkan
orang lain, (membina bakat/kepakaran)’. Menggunakan orang (memerah
tenaga/mental/fizikal) secara maksimum untuk mendapatkan hasil/keuntungan yang
maksimum tanpa memikirkan kebajikan orang, itulah sikap seorang ketua.
Sebaliknya seorang pemimpin, memberikan peluang kepada orang membina kepakaran
dan menambahkan kemahirannya, dengan memberikan peluang menambahkan ilmu, serta
memberikan latihan kemahiran dan kepakaran.
Ketujuh,
seorang ketua hanya mahu ‘menerima penghargaan/pujian’, tetapi pemimpin suka
‘memberikan penghargaan/pujian’. Seorang ketua, suka mengungkit kesilapan orang
berkali-kali hingga tidak nampak langsung kebaikan orang kepadanya. Apabila
orang melakukan kebaikan, berat mulutnya untuk memuji dan berterima kasih,
tetapi dia sendiri sentiasa mengharapkan orang memuji, memberi penghargaan, dan
menyebut serta mengenang kebaikannya. Sebaliknya, seorang pemimpin, dia yang
memberikan penghargaan dan memuji. Sangat baik hati dan pemurah hati untuk
memberikan sesuatu kepada orang sebagai tanda dia berterima kasih dan mengenang
serta menghargai jasa baik orang kepadanya.
Kelapan,
seorang ketua hanya tahu ‘mengarah membuat kerja’, tetapi seorang pemimpin suka
‘mengajak melakukan kerja’. Kata-kata kesukaan seorang ketua biasanya yang
berupa arahan, contohnya “pergi buat kerja…” (lebih kepada arahan dan paksaan)
tanpa mengambil tahu sama ada orang itu boleh/sanggup/suka melakukannya.
Sebaliknya
seorang pemimpin lebih suka menggunakan kata-kata yang membawa makna mengajak
melakukan bersama, contohnya “jom/mari buat kerja…” Dia akan bertanya kepada
orang dahulu, adakah orang itu bersedia/berupaya/tidak beban untuk
melakukannya? (Lebih mengharapkan sikap sukarela dan keikhlasan orang
melakukannya).
Kesembilan,
sikap seorang ketua dia suka ‘meminta penyelesaian’, tetapi pemimpin ‘mencari
penyelesaian’. Apabila berhadapan dengan masalah, seorang ketua akan sibuk
mencari siapa yang menjadi punca masalah, serta banyak menghabiskan masa dan
tenaga memikirkan bagaimana perkara tersebut boleh terjadi; siapa yang silap,
kelemahan siapa? Mudah patah semangat dan tidak dapat mengawal emosi negatifnya
hingga tidak mahu bertanggungjawab dan meminta orang selesaikan masalah itu.
Takut untuk berhadapan dengan masa hadapan kerana asyik dibayangi oleh
kegagalan masa silam.
Sebaliknya
seorang pemimpin, apabila berhadapan dengan masalah, dia cepat mencari jalan
penyelesaian. Setiap masalah dia anggap sebagai dugaan/ujian/cabaran daripada
Allah dan dipandang sebagai satu ‘peluang’ untuk mencipta kejayaan setelah
kegagalan. Masalah dipandangnya sebagai ‘batu loncatan’ bukan ‘batu halangan’ untuk
dia memacu kejayaan yang lebih baik.
Jadilah
seorang ‘pemimpin’ bukan seorang ‘ketua’. Tidak kiralah apa pun posisi kita
sebagai pemimpin (sama ada sebagai suami, ayah, ibu, atau ketua dalam satu-satu
jabatan, organisasi, atau negara), jadilah pemimpin yang dapat memberikan
manfaat kepada orang sekeliling kita. Amalkan sikap; mempermudahkan urusan
bukan menyusahkan urusan dengan orang sekeliling. “Jom jaga diri, jaga akidah,
ibadah dan akhlak”.
http://www.utusan.com.my/rencana/beza-antara-ketua-dengan-pemimpin-1.33418